KUALA LUMPUR: Orang ramai kini boleh membuat persediaan awal menghadapi ancaman jerebu menerusi sistem Malaysian Community Multi-Scale Air Quality Model (MyCMAQ) yang berupaya meramal kualiti udara sehingga lima hari lebih awal.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata sistem dibangunkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) itu menyediakan ramalan berkala beresolusi tinggi mengenai keadaan kualiti udara dan kepekatan bahan pencemar atmosfera di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.

"Dalam pengurusan jerebu, sistem ini berupaya meramal potensi pencemaran udara dan kejadian jerebu sehingga lima hari lebih awal.

"Saya berharap orang ramai merujuk platform itu untuk membuat persediaan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan ramalan keadaan kualiti udara dalam tempoh berkenaan," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.