PETALING JAYA: Bursa Saham Indonesia (IDX) menurunkan had penolakan automatik bagi penurunan harga saham kepada tujuh peratus berbanding 15 peratus sebelum ini, dalam usaha membendung ketidaktentuan pasaran.

Langkah itu bertujuan memastikan aktiviti perdagangan saham kekal teratur, adil dan cekap, selain mengawal turun naik pasaran yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

“Pelarasan ini juga bertujuan memberi peluang kepada pelabur untuk menilai dan memahami maklumat yang tersedia, sekali gus menyokong keputusan pelaburan yang lebih termaklum berdasarkan asas ekonomi Indonesia,” kata IDX dalam satu kenyataan.

Pada pembukaan dagangan Isnin, Indeks Komposit Jakarta (JCI), penanda aras pasaran saham negara itu, merosot 223.23 mata atau 4.31 peratus kepada 4,961.88 mata, jatuh di bawah paras psikologi penting 5,000 mata.