JOHOR BAHRU: Seramai 40 pekerja kilang warga Indonesia dan Filipina serta tiga rakyat tempatan didenda antara RM1,000 hingga RM9,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan kad pengenalan orang lain.

Mereka terdiri 30 perempuan dan 13 lelaki berusia antara 18 hingga 49 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman, A Shaarmini dan Atifah Hazimah Wahab.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara antara satu hingga enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, 35 daripada tertuduh didakwa menggunakan salinan kad pengenalan milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri, manakala lapan lagi menggunakan kad pengenalan palsu.