Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee menyumbang pingat emas kelima buat kontinjen Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menjuarai acara lompat jauh lelaki T12, hari ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Atlet kelahiran Kota Kinabalu itu mencatat lompatan sejauh 6.74 meter (m) di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic untuk meraih emas pertamanya pada temasya berkenaan.
Catatan terbaik itu dilakukan pada percubaan pertama sebelum Wong merekodkan lompatan sejauh 6.60m pada percubaan kedua, 6.47m (ketiga), 6.36m (keempat), 6.39m (kelima) dan 6.40m pada percubaan terakhir.








