KUALA LUMPUR: Jangan buat kesimpulan mereka sudah tiada jika tiada pengesahan rasmi.

Demikian permohonan keluarga anggota Pasukan Khas Operasi Khusus Malaysia (STORM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang hilang di Nepal dalam banjir dahsyat sejak 26 Ogos lalu.

Abangnya, Pegawai Bomba Tinggi II, Mohd Saiful Munir Mohd Isa, yang bertugas di Balai Bomba Pelabuhan Klang berkata meskipun sudah memasuki lebih 56 hari tanpa sebarang khabar, seluruh ahli keluarga reda dengan ujian itu namun memerlukan keputusan nyata daripada pihak berkuasa bagi memudahkan urusan pentadbiran dan kelangsungan hidup waris.

Mohd Saiful Munir, 46 yang juga anggota STORM, berkata dia sudah biasa dengan gerak kerja operasi menyelamat, namun mengakui dugaan kali ini menguji ketahanan mentalnya apabila musibah berkenaan menimpa ahli keluarga sendiri.