BAGI rakyat marhaen, Belanjawan 2027 bukan sekadar pengumuman angka berbilion ringgit, sebaliknya membawa harapan untuk menikmati kehidupan lebih selesa ketika kos sara hidup terus menjadi cabaran.
Setiap peruntukan yang diumumkan pastinya mengundang persoalan; sejauh mana manfaatnya dapat dirasai dalam perbelanjaan harian, khususnya ketika membeli barangan keperluan keluarga.
Dalam keadaan kuasa beli menjadi antara kebimbangan utama, rakyat mengharapkan langkah lebih berkesan bagi memastikan harga barangan kekal berpatutan, bekalan mencukupi dan hak pengguna terus dilindungi.
Justeru, peruntukan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjadi antara aspek penting untuk diteliti kerana keberkesanan pelaksanaannya mempunyai kaitan langsung dengan kesejahteraan pengguna serta kestabilan pasaran domestik.









