PETALING JAYA: Mana-mana pelarian di negara ini tidak akan dihantar pulang sekiranya terdapat bukti atau risiko mereka berdepan penganiayaan, penyeksaan atau ancaman nyawa di negara asal.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 atau Protokol 1967, kerajaan akan memastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang dan piawaian kemanusiaan antarabangsa.

Malah katanya, setiap proses penghantaran pulang pelarian tidak dilaksanakan secara unilateral, sebaliknya melalui rundingan dan penyelarasan secara langsung termasuk dengan Kerajaan Myanmar.

” Seramai 1,476 tahanan pelarian Myanmar berjaya dihantar pulang ke negara asal pada 29 September lalu menerusi fasa pertama Program Penghantaran Pulang dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).