KUALA LUMPUR: Pengacara dan selebriti, Datuk Aznil Nawawi meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan pasangan selebriti, Bella Astillah dan Syed Saddiq bagi mengendalikan majlis perkahwinan mereka susulan komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Aznil berkata, ketidakhadirannya ke majlis perkahwinan pasangan itu turut mengundang persoalan pengguna media sosial di Threads, sekali gus mendorongnya menjelaskan perkara sebenar.

“Pengantin tak buka mulut, tapi yang tak ada kena-mengena dengan keluarga pengantin pula kenapa berbunyi?” katanya.

Mengulas lanjut, Aznil yang mesra disapa Pak Nil berkata, dia bukan sahaja menerima jemputan untuk menghadiri majlis berkenaan, malah turut diminta oleh Bella dan Syed Saddiq untuk bertindak sebagai pengacara.