Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), menafikan rancangan untuk menswastakan anak syarikat perbankannya di Indonesia, PT Bank CIMB Niaga Tbk, susulan laporan media yang menyebut kumpulan itu sedang mempertimbangkan langkah berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, CIMB berkata pihaknya tidak membuat sebarang keputusan atau mengemukakan cadangan rasmi berhubung kemungkinan penswastaan CIMB Niaga.
"CIMB Niaga kekal sebagai bahagian penting dalam rangkaian serantau kumpulan dan kami kekal komited terhadap operasi kami di Indonesia," menurut kenyataan itu.
Kumpulan berkenaan turut menyatakan komitmennya untuk terus mematuhi semua garis panduan kawal selia yang berkenaan, termasuk keperluan minimum pegangan saham awam, mengikut tempoh ditetapkan dan melalui proses yang teratur.








