San Isidro, Argentina: Peguam kepada Leopoldo Luque, doktor yang didakwa berkaitan kematian legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona pada 2020, menegaskan dalam hujahan penutup bahawa anak guamnya tidak bersalah dan telah dijadikan 'kambing hitam'.
Peguam Roberto Rallin menolak hujah pihak pendakwaan bahawa kematian Maradona pada November 2020 boleh dijangka, manakala seorang lagi peguam pembelaan, Francisco Oneto, menegaskan kematian legenda itu berpunca daripada serangan jantung yang "akut dan tidak dapat dijangka".
"Tiada langsung kemungkinan untuk meramalkan kejadian maut ini," tegas Oneto.
Pendakwa raya memohon hukuman penjara 12 tahun terhadap Luque, seorang pakar bedah saraf yang dianggap sebagai antara individu utama dalam membuat keputusan berkaitan rawatan Maradona ketika itu.








