Putrajaya: Kerajaan bersetuju meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) khususnya peruntukan yang dilihat menyekat kebebasan mahasiswa bersuara dan berpersatuan, dengan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan dijangka dibentangkan di Parlimen, Disember ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri hari ini meluluskan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meminda beberapa seksyen dalam akta berkenaan bagi menghapuskan sekatan terhadap kebebasan mahasiswa.
Beliau berkata, pindaan itu adalah sebahagian daripada usaha reformasi undang-undang pendidikan tinggi bagi memberikan ruang lebih luas kepada mahasiswa menyuarakan pandangan serta menjalankan aktiviti persatuan.









