JAKARTA: Shell Indonesia selesai memindahkan perniagaan stesen minyaknya kepada syarikat tempatan Indonesia, SEFAS Group, membabitkan kira-kira 200 stesen di seluruh negara itu, namun mengekalkan penggunaan jenama Shell menerusi perjanjian pelesenan.
Pengurusan Shell berkata, perniagaan itu kini akan beroperasi menerusi PT Isla Energy Indonesia, yang dimiliki SEFAS Group, dengan lebih 160 daripada kira-kira 200 stesen minyak berkenaan merupakan stesen milik syarikat.
Syarikat itu berkata, pemindahan berkenaan turut merangkumi operasi berkaitan bekalan dan pengedaran bahan api, selain sebuah terminal bahan api di Gresik, Jawa Timur.
"Di bawah perjanjian pelesenan jenama, jenama Shell akan terus digunakan di seluruh rangkaian stesen minyak PT Isla Energy Indonesia, manakala pelanggan masih boleh mendapatkan produk bahan api Shell," menurut syarikat itu, lapor agensi berita nasional Antara hari ini.








