PUTRAJAYA – Sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang disekat daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Budi Madani susulan pengesanan transaksi mencurigakan disyaki menyalahgunakan subsidi.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, tindakan itu diambil berikutan beberapa aduan daripada penerima Budi Madani yang mendapati maklumat MyKad masing-masing telah digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk membeli petrol bersubsidi.

Katanya, kesemua pengadu telah membuat laporan polis dan MOF telah menjalankan semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak berkenaan susulan aduan itu.

“Semakan mendapati lebih 1,000 transaksi yang menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) telah direkodkan. Transaksi ini melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan berjumlah lebih RM270,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.