SEBERANG PERAI – Empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun ditahan selepas disyaki mengugut seorang wanita warga emas di hadapan kediamannya di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, dekat sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 71 tahun itu pada 26 Oktober lalu berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 22 Oktober lalu.

Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku selepas pengadu menegur sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran rumahnya kerana membuat bising.

“Pengadu mendakwa kumpulan berkenaan membaling batu dan melontarkan batang besi ke arahnya, namun objek tersebut tidak terkena mangsa. Perbuatan itu menyebabkan pengadu berasa takut sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.