Kangar: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut selepas bot peronda dinaiki merempuh bongkah konkrit tinggalan jeti lama ketika mengejar bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Sungai Padang, malam tadi.
Tiga daripada lima anggota yang berada di dalam bot peronda turut tercampak ke laut akibat pelanggaran kira-kira jam 11.30 malam itu.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, mangsa yang maut, Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, dipercayai terhantuk pada bongkah konkrit berkenaan.
"Secara fizikalnya kita nampak dia mengalami kecederaan di bahagian kepala. Kemungkinan besar ketika tercampak, kepalanya terkena pada bongkah konkrit.








