KUANTAN: Tiga lelaki termasuk seorang penjual buah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan terbabit dalam rompakan berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah kedai emas pada 21 Ogos lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Mohd Noor Mat Ail, 45; Muhammad Farid Rasid, 30; dan Che Rosfaizul Aswadi Che Hamid, 31, didakwa bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan menggunakan dua bilah parang serta melarikan beberapa dulang barang kemas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai emas di Taman Pandan Damai, di sini, kira-kira jam 2 petang pada 21 Ogos lalu.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.








