PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penghakiman terus bagi tuntutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjumlah RM15.32 juta terhadap MajuBina Resources Sdn Bhd berhubung kegagalan syarikat itu menyiapkan kerja-kerja Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah dalam tempoh ditetapkan.

MCMC dalam kenyataannya, memaklumkan jumlah itu merupakan ganti rugi tertentu akibat kelewatan pelaksanaan kerja di bawah projek JENDELA 1, selain mahkamah turut memerintahkan syarikat berkenaan membayar kos RM5,000 kepada MCMC.

Menurut MCMC, tindakan undang-undang itu difailkan pada Februari lalu bagi menuntut bayaran ganti rugi susulan kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur komunikasi tersebut yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).