KUALA LUMPUR: Seorang warga Thailand yang disabitkan kesalahan dadah terlepas sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini, memutuskan pendakwaan gagal membuktikan lelaki itu berusia bawah 50 tahun iaitu had umur yang boleh dikenakan hukuman itu.

Hakim, Azlan Sulaiman, turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengarahkan tertuduh, Mahyudin Ismail, menjalani pemeriksaan perubatan bagi menentukan usianya tanpa terlebih dulu memaklumkan kepada peguam lelaki itu.

Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan usia sebenar Mahyudin kerana lelaki itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, walaupun bergantung kepada pemeriksaan pergigian forensik yang menganggarkan usianya 40 tahun.

Mahkamah dimaklumkan, Mahyudin memasuki Malaysia secara haram dari Thailand pada 2004 ketika berusia 30 tahun, sekali gus menjadikan usianya melebihi 50 tahun ketika hukuman dijatuhkan.