Puchong: Seramai 101,901 anggota daripada pelbagai agensi bersama ribuan aset penyelamat di seluruh negara, terbabit dalam penugasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Berdasarkan penyelarasan antara agensi, seramai 47,100 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 21,477 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 15,145 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 12,927 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 5,252 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bersiap siaga menghadapi MTL.

Ketua Penolong Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Mejar Wazirudin Mahfot @ Mahbott, berkata penugasan dan penempatan aset ke kawasan MTL membabitkan penyelarasan antara agensi bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan cekap sekiranya berlaku banjir atau bencana lain.