Shah Alam: Sebuah pusat hiburan karaoke (KTV), dua kilang dan lima blok rumah pangsa menjadi sasaran Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor dalam operasi yang membawa kepada penahanan 242 warga asing, malam tadi.
Operasi Bersepadu Mega di sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Klang itu menyaksikan 321 individu diperiksa, dengan 242 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 180 lelaki dan 62 wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun.
Katanya, seramai 35 warga asing ditahan di pusat hiburan KTV, manakala 120 lagi ditahan di dua kilang yang menjalankan kegiatan pembungkusan barangan plastik dan perkhidmatan kurier.










