KUALA LUMPUR: Tip bermula RM100 hingga mencecah RM3,000 satu malam menanti puluhan gadis pelayan pelanggan (GRO) sebagai habuan jika mampu memikat pelanggan dengan tarian ghairah.

Kegiatan itu dikesan dalam serbuan Ops Gegar di sebuah kelab malam di Jalan Ampang, di sini, yang disyaki menyediakan pelbagai aktiviti tidak bermoral membabitkan wanita warga asing.

Ketika serbuan, GRO warga asing terbabit sedang asyik melayan pelanggan sebelum keadaan bertukar kecoh apabila mereka cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pegawai Jabatan Imigresen (JIM).

Wartawan yang mengikuti serbuan pada jam 12 tengah malam tadi mendapati pasukan operasi terpaksa bergelut seketika dengan pengawal keselamatan di pusat hiburan berkenaan, namun situasi itu berjaya dikawal pantas oleh pegawai bertugas.