Kuala Lumpur: Maklumat peribadi rakyat, dokumen strategik negara dan sistem penyampaian perkhidmatan awam menjadikan agensi kerajaan antara sasaran bernilai tinggi kepada penggodam yang mahu mencuri data, mengaut keuntungan atau melakukan pengintipan siber.
Pakar keselamatan siber Pusat Kajian Keselamatan Siber, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Umi Asma' Mokhtar berkata agensi kerajaan menyimpan data dalam jumlah besar dan bersifat sensitif, merangkumi maklumat pengenalan diri, percukaian, kesihatan dan pendidikan, selain dokumen strategik negara.
Menurutnya, kerajaan turut mengendalikan perkhidmatan kritikal yang menjadi nadi negara, sekali gus menjadikan gangguan terhadap sistem berkenaan berpotensi memberi kesan meluas kepada orang ramai.









