Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian kemelut politik di negeri berkenaan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Menteri Besar Perlis bagi memohon satu pertemuan untuk membincangkan perkara berkenaan.
"Perbincangan nanti akan memberi lebih tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian terhadap isu yang berlaku, memandangkan PAS masih menyokong kerajaan negeri atas nama PN meskipun tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya dalam sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) di sini, malam tadi.









