HARI ini kecoh soal adab, esok perang mulut dalam media sosial, lusa sibuk pula mengutip serpihan maruah selepas kenyataan sendiri mengundang padah, begitulah realiti drama dunia hiburan.
Anehnya, apabila jari sudah pantas menari di papan kekunci, akal pula seolah-olah tertinggal jauh di belakang. Akhirnya, bukan diri sendiri terpalit lumpur, orang lain pula terkena tempias hingga perlu membasuh selut.
Begitulah kontroversi industri hiburan dua negara yang sempat membara apabila tercetus salah faham membabitkan pelakon popular Malaysia, Izara Aishah, dengan pasangan selebriti terkenal Indonesia, Lesti Kejora dan Rizky Billar.
Insiden bermula di belakang pentas sebuah konsert, kemudian merebak menjadi perbalahan antara netizen Malaysia dengan Indonesia.








