KOTA BHARU: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pimpinan gabungan itu akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian kemelut politik di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS sudah menghantar surat kepada Abu Bakar bagi memohon satu pertemuan untuk membincangkan perkara berkenaan.

"Perbincangan nanti akan memberi lebih tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian terhadap isu yang berlaku, memandangkan PAS masih menyokong kerajaan negeri atas nama PN meskipun tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Takiyuddin menjelaskan demikian pada sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.