KUALA LUMPUR: Kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan memberi penghormatan akhir kepada imam muda Masjid Bandar Baharu Serting, Mohammad Syazwan Mahadi, 28, yang meninggal dunia semalam.

Ia sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan jasa Allahyarham yang terus memberi harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ.

Menerusi klip video yang tular di Facebook, warga hospital berkenaan dilihat berbaris mengiringi perjalanan jenazah Allahyarham sebagai penghormatan terakhir.

Video berdurasi 41 saat itu turut memaparkan beberapa kakitangan menolak katil yang membawa jenazah Allahyarham, melalui laluan yang diiringi warga hospital sebelum memasuki sebuah ruang.