KUALA PILAH – Suasana hiba menyelubungi Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, apabila warga hospital melakukan Honor Walk sebagai penghormatan terakhir kepada seorang imam muda Masjid Bandar Baharu Serting pagi semalam.

Penghormatan itu diberikan sebagai tanda menghargai pe­ngorbanan Allahyarham Mohammad Syazwan Mahadi, 28, yang terus menyemai harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ selepas pemergiannya.

Menerusi hantaran yang tular di Facebook setempat, warga hospital dilihat mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham yang juga penghantar barangan.

Perkongsian itu mengundang pelbagai orang ramai yang rata-ratanya menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan berhati mulia kerana masih mampu memberi manfaat kepada orang lain meskipun sudah tiada.