OPERASI bersepadu Imigresen menggempur 19 lokasi sekitar Janda Baik, Bentong, kelmarin, iaitu 10 hari selepas pendedahan BH mengenai kehadiran warga asing semakin berleluasa di kawasan pelancongan itu, menunjukkan bagaimana media dan pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab masing-masing dapat menangani isu meresahkan masyarakat setempat dan menjejaskan keselamatan. Tindakan pantas itu wajar dipuji, apatah lagi isu terbabit bukan sekadar membabitkan pelanggaran peraturan imigresen, malah kegiatan ekonomi, penggunaan tanah dan kelestarian alam sekitar.

Dalam operasi membabitkan 150 pegawai dan anggota penguat kuasa itu, seramai 278 warga asing diperiksa dengan 65 ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki pas sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan permit. Lebih membimbangkan, siasatan awal mendapati ada antara mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan lebih empat tahun tanpa pas.