Kuala Lumpur: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peluang pekerjaan berkualiti bagi memastikan manfaat ekonominya dinikmati penduduk di sepanjang laluan berkenaan.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, ECRL berpotensi menjadi pemangkin untuk merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara pantai timur dengan pantai barat menerusi hubungan pengangkutan yang lebih baik, peluasan pasaran dan peningkatan daya tarikan pelaburan.
Katanya, kesan ekonomi projek itu bergantung pada keupayaan setiap bandar menghubungkan kemudahan rel dengan kegiatan perniagaan, industri dan logistik setempat.








