Paris: Bekas juara Maraton Tokyo, Ruti Aga, digantung selama enam tahun selepas mengambil bahan terlarang sebelum cuba mengelirukan penyiasat, menurut Unit Integriti Olahraga (AIU) pada Khamis.

Pelari Ethiopia berusia 32 tahun itu menjuarai perlumbaan di Tokyo pada 2019 dan menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas pada empat kejohanan utama maraton dunia.

Ujian antidoping yang dijalani selepas perlumbaan di China pada Mac tahun ini mengesan kehadiran methylprednisolone, sejenis ubat antiradang yang sering digunakan untuk merawat asma yang serius dan tersenarai sebagai bahan terlarang.

AIU berkata, Aga kemudian cuba mengelirukan penyiasat dengan memberikan maklumat palsu ketika temu bual serta mengemukakan dokumen yang direka untuk mengesahkan preskripsi methylprednisolone ketika menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah fasiliti perubatan.