APABILA kita mendengar perkataan reformasi pilihan raya, kita mungkin terbayang perubahan besar seperti sistem pilihan raya baharu atau kaedah pengundian baharu. Namun, reformasi pilihan raya tidak semestinya berlaku dalam bentuk perubahan besar dan dramatik.
Dalam konteks inilah Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Sarawak Ke-7 wajar dilihat. Dalam KSP kali ini, dua penambahbaikan besar dan penting diambil, iaitu mengurangkan jurang saiz pemilih antara bahagian pilihan raya negeri dan memperluas serta memudahkan penyertaan awam dalam proses KSP.
Kedua-dua penambahbaikan ini mungkin kelihatan seperti perkara teknikal. Namun, kedua-duanya mempunyai kaitan langsung dengan kualiti demokrasi.









