AL-MUSHAIRFEH: Tujuh mangsa maut manakala 40 lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang ketika upacara pengebumian di sebuah gereja di Jordan, semalam.

Rakaman kamera keselamatan yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan, Al-Mamlaka, menunjukkan tiga lelaki melepaskan tembakan ke arah gereja dari kaki lima sebelum berlindung di sebalik pokok dan tembok rendah.

Mereka kemudian dilihat berlari menuju ke pintu masuk gereja. Reuters mengesahkan rakaman itu berdasarkan laluan masuk dan tembok di sekeliling bangunan berkenaan serta beberapa butiran lain.

Ketua Direktorat Keselamatan Awam Jordan, Mejar Jeneral Abdallah al-Maaytah, berkata serangan di Gereja Hamoud, wilayah Karak itu disifatkan pihak berkuasa sebagai tindakan pengganas yang dilakukan golongan pelampau.