KUALA LUMPUR: Ketika dunia Azizulhasni Awang seakan runtuh selepas kekecewaan di Sukan Olimpik Paris 2024, John Beasley menjadi insan yang berdiri teguh memberikan sokongan, sekali gus membuktikan peranan jurulatih bukan sekadar membentuk atlet, tetapi turut menjadi sandaran ketika berdepan saat paling sukar.

Jasa jurulatih bertaraf dunia itu turut dikenang bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang meluahkan penghargaan terhadap segala tunjuk ajar, nasihat dan persahabatan Beasley.

Menerusi hantaran di media sosial, Hannah berkata Beasley memainkan peranan penting ketika Azizulhasni dan pasukannya berdepan detik sukar selepas kempen di Paris, termasuk memberikan kata-kata semangat sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).