SEBELUM ulasan ini diluncurkan, suka untuk penulis mengakui diri ini bukan peminat tegar permainan arked Street Fighter apatah lagi siri animasi kartun itu yang lama diperkenalkan kepada dunia.
Kendatipun, suatu ketika dahulu terjemahan filem itu kerap dipandang dingin akibat kegagalan memvisualkan ke bentuk sinematik, ‘buah tangan’ baharu jenama terbabit ternyata membuktikan sebaliknya.
Kali ini, ia bukan sahaja hadir sebagai sebuah naskhah aksi blokbuster biasa, malah berdiri kukuh sebagai penanda aras bagaimana sebuah francais legenda berusia lebih tiga dekad mampu diolah semula secara moden tanpa mengorbankan identiti asalnya.
Bagi pencinta sukan aksi dan peminat tegar arena permainan video, kemunculan filem tersebut sudah tentu menjadi antara tajuk paling dinantikan tahun ini.










