KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan didalangi warga China dikesan menyewa inap desa untuk dijadikan pusat panggilan dan 'sarang' operasi haram mereka.

Itu taktik 34 individu disyaki 'scammer', namun helah itu berjaya dipatahkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia yang menyerbu premis kediaman di Klebang Kechil, Melaka, jam 10.35 pagi kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi itu turut membabitkan pegawai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan JIM Melaka.

"Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama sebulan, pasukan operasi diatur gerak ke sebuah premis kediaman dan berjaya menahan 29 lelaki dan dua wanita warga China dan seorang lelaki Taiwan berusia antara 20 hingga 51 tahun.