Kuala Lumpur: Gesaan supaya tidak membenarkan anak berusia 16 tahun ke bawah daripada menggunakan aplikasi WhatsApp semata-mata tidak cukup untuk melindungi mereka daripada menjadi mangsa buli siber di negara ini.

Sebaliknya, pakar berpendapat tindakan itu seharusnya disokong pemantauan tegas daripada ibu bapa, dengan memberikan pendidikan literasi digital dan kemahiran regulasi emosi serta penyedia platform juga perlu diberi tanggungjawab menyediakan persekitaran digital yang lebih sihat.

Pakar Psikologi Klinikal di Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA, Profesor Madya Dr Kartini Ilias berkata, semua pihak perlu melihat isu berkenaan secara seimbang kerana internet bukan hanya medium hiburan dan media sosial, tetapi juga sumber pembelajaran, komunikasi dan perkembangan kemahiran digital.