PETALING JAYA: Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus yang membenarkan hukuman penjara dijalani di bawah tahanan rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan penggubalan undang-undang berkaitan juga masih belum dimuktamadkan setakat ini.
“Pada masa ini, tiada peruntukan undang-undang khusus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Penjara yang membenarkan seseorang banduan menjalani hukuman pemenjaraan di kediaman sendiri menerusi mekanisme tahanan rumah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang ingin mengetahui peruntukan undang-undang yang membenarkan banduan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.









