KUALA LUMPUR: Ibu bapa digesa tidak membenarkan anak berusia bawah 16 tahun menggunakan aplikasi WhatsApp bagi mengurangkan risiko terdedah kepada buli siber dan penyebaran kandungan tidak sesuai.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata penggunaan aplikasi berkenaan perlu diberi perhatian kerana ibu bapa tidak mengetahui anak berkomunikasi dengan siapa atau apa kandungan yang dikongsi dalam kumpulan sembang.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau aktiviti digital anak serta memastikan mereka memahami risiko berinteraksi dengan individu tidak dikenali dan berkongsi kandungan di media sosial.

Beliau berkata, walaupun WhatsApp boleh digunakan untuk memudahkan komunikasi antara ahli keluarga, platform itu turut berpotensi menjadi ruang berlaku buli siber dan penyebaran pelbagai kandungan yang boleh memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak.