Putrajaya: Pintu rundingan bagi memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan Ahli Parlimen pembangkang kekal terbuka kepada mana-mana wakil rakyat yang berminat menyertainya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pemeteraian CSA itu tidak terhad kepada 13 Ahli Parlimen, termasuk enam daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menandatangani perjanjian berkenaan di Parlimen, baru-baru ini.
"Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini membincangkan majlis menandatangani CSA di antara 13 Ahli Parlimen termasuk enam Ahli Parlimen dari BERSATU dengan Kerajaan MADANI yang berlangsung di Parlimen.
"CSA ini tidak terbatas kepada 13 orang Ahli Parlimen ini sahaja dan terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berhasrat untuk datang, berbincang dan memeterai CSA. Jadi pintu perbincangan itu kekal terbuka," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.








