Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) yakin mampu menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan pengundi terhadap gabungan parti itu juga positif setakat ini.
"Kita yakin mampu menewaskan PH di Melaka dengan sokongan yang ada. Bahkan data daripada kajian yang dilakukan, pengundi Melaka terus kekal menyokong PN dan PAS sebagaimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
"PAS juga sudah menggerakkan jentera untuk terus bekerja dan tidak memandang mudah setiap pertandingan, apa yang penting jentera PAS sentiasa turun bersama rakyat bukan hanya menjelang PRN seperti mana parti lain," katanya ketika dihubungi.








