Kuala Lumpur: Selepas melalui tempoh sukar yang dibelenggu kecederaan dan pelbagai cabaran tahun ini, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah kembali membuktikan kehebatan mereka apabila menjuarai Terbuka Denmark 2026, semalam.
Bagi Pearly, kejayaan itu lebih bermakna kerana beliau dapat mengharungi segala dugaan bersama gandingannya, Thinaah, sebelum kembali berdiri di podium tertinggi menerusi kemenangan ke atas pasangan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita pada aksi final.
"Saya sangat gembira dapat melalui semua ini bersama Thinaah dan berdiri di podium tertinggi hari ini (semalam). Ia sangat bermakna buat kami. Seperti yang saya katakan, saya tidak mahu berhenti setakat ini. Kami mahu terus maju dan memperbaiki diri," katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan.








