Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim sedang berusaha mendapatkan tarikh dan waktu yang sesuai untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam masa terdekat.

Ia bagi mempersembahkan kepada baginda mengenai rancangan kerajaan negeri untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seterusnya membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027, yang dirancangkan pada bulan depan.

"Setakat ini, belum (mendapat perkenan Tuanku Muhriz), saya sedang berusaha (untuk menghadap baginda)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Perpatih Fest 2026 di pekarangan Muzium Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Dr Awaluddin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) Aziz Mohd Gorip.