Kuantan: Bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM2,000 pada Mei tahun lalu.
Wan Muhammad Faiz Wan Asri, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai itu tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Dewan Serbaguna Puncak Arabella, Cameron Highlands pada 9.45 malam 28 Mei 2025.









