KUALA LUMPUR: Lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal, dirampas dalam serbuan terhadap sebuah gudang di Puchong, tengah malam tadi.
Turut ditahan dalam Ops Taring Chiller itu ialah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata serbuan pada 12.40 tengah malam itu mendapati premis terbabit disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.










