Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita dua bot, peralatan pemindahan serta diesel yang dianggarkan bernilai RM587,219.45 dalam operasi di sebuah jeti persendirian di Manjung, Perak, Isnin lalu.
Operasi penguatkuasaan OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) itu turut membawa kepada penahanan lima lelaki, terdiri daripada dua rakyat tempatan dan tiga warga asing bagi membantu siasatan.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi pada 27 Oktober lalu itu membabitkan 12 pegawai penguat kuasa KPDN Putrajaya dan lima pegawai KPDN Cawangan Manjung.
Beliau berkata, penguatkuasaan itu adalah hasil maklumat risikan susulan aduan diterima berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan barang kawalan.








