Kuala Lumpur: Peneraju industri pengiklanan luar rumah (OOH) negara, Big Tree menganjurkan Big Tree OOH City Tour 2026 bagi memperlihatkan keupayaan medium berkenaan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat di ibu kota semalam.

Inisiatif anjuran anak syarikat Media Prima Berhad itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama penyedia penyelesaian pemasaran bersepadu, Media Prima Omnia.

Program bertemakan "Bagaimana Jika Bandar Ini Mendengar Suara Anda?" dan slogan "Jangan Sekadar Merancang OOH. Jadilah Sebahagian Daripadanya" itu membuka ruang kepada pengamal industri media merasai potensi OOH dalam persekitaran sebenar melangkaui format perancangan konvensional.

Kemuncak jelajah berkenaan adalah swafoto serta mesej peribadi kiriman peserta dipaparkan kepada umum menerusi visual anamorfik berasaskan kecerdasan buatan (AI) di CuBig @ KLCC Junction, iaitu skrin digital luar rumah (DOOH) terbesar milik Big Tree.