KLANG - "Orang kita sendiri pun keluar lepas mereka mula semakin ramai di sini."Itu antara luahan penduduk tempatan yang menetap di sebuah flat di Pandamaran di sini apabila ramai warga asing mengambil kesempatan menyewa di unit kediaman itu sejak beberapa tahun lalu.Menurutnya, flat ini dikatakan disewa oleh warga asing sekitar harga RM700 bergantung kepada aras tingkat kediaman."Kalau tingkat bawah RM900. Mereka ini akan duduk dalam jumlah yang ramai, ada yang sampai tujuh orang."Keadaan di sini sudah berubah, bila mereka (warga asing) ramai, ada kes mabuk, gaduh...itu dah biasa," dakwa lelaki berusia lingkungan 40-an yang sudah menetap sejak kira-kira 20 tahun lalu.Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan unit kediaman dihuni warga asing dalam keadaan tidak terurus termasuklah peralatan dan bahan memasak di dalam bilik selain bau yang kurang menyenangkan.Sebelum itu, kira-kira jam 3.30 pagi, Jumaat, empat blok flat empat tingkat diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK).Sementara itu, Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 87 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan hasil pemeriksaan 110 individu."Tangkapan membabitkan 54 lelaki dan 33 wanita daripada pelbagai warganegara."Kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Imigresen Selangor di sini pada Jumaat.Tambahnya, antara kesalahan dikesan ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.Menerusi Operasi Bersepadu Mega itu juga, dua buah kilang di Subang Bestari dan Subang Jaya digempur dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)."Seramai 161 individu diperiksa dan hasilnya 120 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan," ujarnya.Dalam serbuan itu, rata-rata warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dengan memberi alasan tertinggal di rumah, bahkan ada yang terbabit salah guna permit iaitu pemegang permit pembinaan, namun bekerja di sektor perkilangan.