ALOR SETAR – Hak pesawah menolak penjualan hasil padi sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan penggredan dan kadar potongan yang dikenakan kilang bukan penyelesaian kepada isu sebenar yang berlaku dalam industri padi negara.Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kerajaan perlu meneliti semula mekanisme penggredan padi bagi memastikan proses berkenaan dilaksanakan secara telus dan adil kepada pesawah.Menurutnya, kuasa menentukan gred serta kadar potongan yang diberikan kepada hasil padi ketika ini dilaksanakan pihak pengilang, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses tersebut."Kerajaan sepatutnya menempatkan pegawai bebas yang bukan daripada kalangan pengilang untuk melakukan penilaian terhadap kualiti padi sebelum kadar potongan ditentukan."Kita tidak boleh bergantung kepada pihak kilang semata-mata kerana mereka juga pihak yang membeli padi daripada pesawah" katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Luqman Ahmad berkata, pesawah mempunyai hak untuk menolak menjual hasil padi kepada kilang atau pusat pembelian sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan penggredan dan kadar potongan yang dikenakan.Menurut beliau, kedua-dua proses itu dilaksanakan oleh pelesen membeli padi atau kilang padi komersial yang dilesenkan kerajaan, berpandukan piawaian spesifikasi dan penggredan padi.Antara faktor yang menentukan kadar potongan termasuk kandungan air, padi rosak, padi muda atau tidak matang serta kehadiran benda asing dalam hasil tuaian.Mengulas perkara itu, Abdul Rashid berkata, cadangan supaya pesawah membawa hasil padi ke kilang lain sekiranya tidak berpuas hati dengan kadar potongan juga sukar dilaksanakan kerana pilihan kilang di sesetengah kawasan adalah terhad.Menurutnya, pesawah berkemungkinan berdepan situasi sama apabila kilang lain turut mengenakan kadar potongan yang hampir serupa."Terdapat kilang di Kelantan yang mengenakan kadar potongan antara 23 hingga 30 peratus, sedangkan isu penetapan kadar minimum 20 peratus masih menjadi persoalan dalam kalangan pesawah."Kalau kita tidak setuju dengan kilang A, kita pergi kilang B. Tetapi kalau kilang B pun mengenakan kadar sama, hendak pergi ke mana lagi. Sebab itu kita berpandangan isu ini bukan sekadar memberi pilihan kepada pesawah untuk menolak jualan, tetapi kerajaan perlu melihat mekanisme yang digunakan oleh kilang," ujarnya.Sehubungan itu, Abdul Rashid mencadangkan kerajaan menetapkan satu penanda aras kadar potongan mengikut kategori gred padi, termasuk kadar minimum dan maksimum yang perlu dipatuhi semua pengilang.Menurutnya, kaedah berkenaan boleh diwujudkan seperti pelaksanaan projek ladang benih yang mempunyai kadar potongan tertentu, iaitu sekitar 12 hingga 16 peratus.Beliau berkata, pendekatan sama wajar dipertimbangkan bagi padi biasa supaya pesawah mengetahui kadar potongan yang munasabah berdasarkan gred dan kualiti hasil