KUALA LUMPUR: Bakat, sensitiviti dan cita-cita menjadi elemen penting dalam membezakan antara keaslian karya sastera ciptaan manusia dengan produk teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Sasterawan Negara ke-10 Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Beliau berkata perkembangan teknologi tidak dapat dielakkan, justeru masyarakat perlu bijak memanfaatkannya tanpa membiarkan perkara itu menguasai kehidupan mereka.

"AI memang tidak boleh kita elakkan, tapi AI hanya alat dan kita mendapat sesuatu daripada apa yang telah kita berikan kepada AI," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Tayangan Perdana Program Kalam Karyawan 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah PNM Anisatul-Wahidah Abdul Wahid dan Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, Datuk Dr Siti Zainon Ismail serta Datuk Rahman Shaari.