KUALA LUMPUR: Syarikat jualan langsung produk kesihatan dan kesejahteraan, DXN Holdings Bhd, mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM91.28 juta pada suku kedua berakhir 31 Ogos 2026 daripada RM70.25 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan hasil meningkat 5.2 peratus kepada RM506.80 juta daripada RM481.20 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Peningkatan itu dipacu oleh momentum pertumbuhan berterusan dan penglibatan aktif ahli-ahlinya di Peru dan Bolivia, dengan jualan masing-masing meningkat 13.7 peratus dan 49.3 peratus. Jualan di India turut naik 10.7 peratus.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Ogos 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM149.82 juta daripada RM144.17 juta pada tahun sebelumnya.